Dijanjikan pulangan RM145,000 dalam masa tiga jam, Abby Abadi kena ‘scam’ dalam group Telegram

Dijanjikan pulangan RM145,000 dalam masa tiga jam, Abby Abadi kena ‘scam’ dalam group Telegram

 

Semakin maju zaman bergerak ke depan, para scammer juga semakin bijak mengatur strategi penipuan baru.

Saban hari, taktik digunakan mereka benar-benar smooth lantas berjaya memperdaya target dengan sangat mudah khususnya golongan berusia yang mungkin kurang cakna mengenai sindiket penipuan cyber.

Sebentar tadi, pelakon, Abby Abadi, 45, turut mendedahkan nasib malang yang dialaminya setelah mengalami kerugian hampir RM20,000.

Menurut kronologi awal, dia tiba-tiba ditambah masuk oleh seseorang ke dalam sebuah grup Telegram pelaburan.

Awalnya cuma mahu ‘pantau’ keadaan sahaja, siapa sangka dia terjerat masuk ke dalam perangkap yang dibuat oleh geng penipu terbabit.

Meskipun awalnya sudah berjaga-jaga, Abby mula terpedaya untuk cuba melabur setelah melihat ahli-ahli dalam grup mendapat pulangan lumayan menerusi transaksi pelaburan yang mereka lakukan.

Bermula dengan modal RM4,000, dia kemudiannya dijanjikan pulangan sebanyak RM145,000 dalam masa 3 jam selepas transaksi pertama dibuat.

Tidak cukup di situ, scammer terbabit meminta Abby menambah lagi duit sebanyak RM14,500.

Di sini, Abby semakin yakin semua ini hanyalah penipuan semata-mata.

Namun dalam masa sama, ramai pelabur dalam grup itu terus galak berkongsikan kejayaan mereka mendapat pulangan lumayan.

Seminggu kemudian, Abby terpedaya buat kali kedua lalu memberikan sebanyak RM14,500 seperti yang diminta.

Nasi sudah menjadi bubur, Abby kemudian tersedar ia benar-benar scam setelah diminta membayar lagi RM29,770.

Laporan polis sudah dibuat, aktres ini juga meminta bantuan pekerja bank dengan harapan duit itu dapat diperolehi semula.