“Dia terkejut..” – Didakwa nenek tak restu perkahwinan, ini jawapan Syasya Rizal
Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal menjelaskan dakwaan neneknya, pelakon senior, Rozie Othman tidak merestui perkahwinannya bersama suami, Nasrullah.
Syasya atau nama lengkapnya Norsyasya Afiqah Rizal, 23, memaklumkan dia sudah memberi bayangan awal kepada neneknya berkenaan mahu mendirikan rumah tangga.
“Saya ada cakap dengan nenek, bagi hint.. kalau berkaitan dengan hal sendiri saya selalu simpan sendiri.. lama-lama last minit baru bagi tahu.
“Saya minta nenek untuk doakan saya.. kebetulan masa tu nenek sedang mengerjakan Umrah.
“Nenek terkejut dia balik dari Makkah, saya terus bernikah.
“Tetapi sebelum majlis akad nikah tu saya ada telefon nenek bagi tahu tentang majlis tu,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Nasrullah turut berkata mereka sudah menjelaskan segalanya secara terperinci kepada Rozie sejurut selepas dia pulang dari Makkah.
“Kami dah lama tak jumpa nenek, tetapi selepas bernikah kami ada berjumpa.
“Nenek sangat baik dengan kami, Alhamdulillah nenek terima perkahwinan kami.. siap belanja kami makan tau fu fa,” ujarnya.
Syasya berkata demikian ketika ditemui pada majlis resepsinya berlangsung di Magica Subang Hall, Subang Jaya pada Sabtu.
Dalam masa sama, Syasya turut menjawab mengenai dakwaan suaminya tidak bekerja.
“Biasalah tu, dalam umur nenek sekarang perkara biasa kalau dia dengar cerita daripada pelbagai pihak.
“Kemudian nenek terus buat rumusan daripada segala cerita yang dia dengar.
“Tetapi selepas itu kami berjumpa dan terangkan kepada nenek.
“Bila nenek jumpa Nasrullah depan mata, dia gembira dan ucap Alhamdulillah,” katanya.
Sebelum ini, nama Syasya menjadi sebutan hangat selepas dia membuat keputusan sudah tidak bersama dengan kumpulan Dolla atas perkara peribadi pada 8 Jun lalu.
Malah, pada 21 April lalu Syasya dan Nasrullah sah mendirikan rumah tangga selepas tular foto-foto pernikahan mereka di media sosial.