“Dia macam takut nak jawab” – Abang dakwa sempat jumpa suspek lepas 4 hari Nur Farah Kartini hilang

“Dia macam takut nak jawab” – Abang dakwa sempat jumpa suspek lepas 4 hari Nur Farah Kartini hilang

 

Abang kepada Allahyarhamah Nur Farah Kartini iaitu Mohd Farriza Azmi mendakwa dirinya ada berjumpa dengan lelaki yang didakwa terlibat dengan kes pembunuhan adiknya sebelum suspek berkenaan ditahan pihak polis.

Menerusi temu bual bersama rancangan terbitan TV3, 999, Farriza mendakwa dia telah berjumpa dengan suspek kira-kira empat hari selepas kehilangan arwah adiknya.

Saya ada jumpa dia (suspek) di sebuah kedai makan. Saya tanya dia, ‘Ada tak ambil adik (Arwah Nur Farah Kartini), kalau ada pulangkan’.

Tapi suspek cakap dia tak tahu. Lepas itu saya tanya dia, ‘Tak ada rasa nak cari arwah ke?’. Dia kata ada cubaan nak cari.

Tapi dia nampak takut-takut. Rupa-rupanya (dakwaan) dia dah bunuh arwah dah masa itu.

Tambah Farriza, tujuan dirinya berbuat demikian kerana tahu bahawa suspek adalah orang terakhir bersama arwah adiknya sebelum dilaporkan hilang.

Saya nak jumpa dan suspek dia sebab saya tahu bahawa dia adalah orang yang terakhir bersama arwah.

Macam mana saya tahu adalah melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat arwah bekerja.

Saya juga nak minta tengok perbualan suspek bersama arwah adik di telefon tetapi dia mendakwa telah memadam semua perbualan tersebut.

Nak minta tengok rakaman ‘dashcam’ pun dia kata (footage) dah hilang.

Dakwa Farriza lagi, suspek juga memburukkan arwah adiknya sewaktu hari pertemuan mereka.

Masa kami berjumpa itu dia banyak memburuk-burukkan nama baik adik saya.

Imbas kembali, pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Farah berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.

Kali terakhir wanita berkenaan dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar hitam dan dipercayai hilang selepas menghantar kereta sewa.

Pihak polis kemudiannya telah menahan seorang individu lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.