“Dhia, baliklah ya..” – Anak tak pulang sejak 12 Mac lalu, ibu buka cerita perbualan terakhir 2 beranak sebelum hilang
Anak tak pulang sejak 12 Mac lalu, ibu buka cerita perbualan terakhir 2 beranak sebelum hilang
Hati ibu mana yang tidak gundah apabila anaknya sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah tanpa ada sebarang khabar berita.
Demikianlah perasaan Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, ketika ini apabila mengenangkan anak sulungnya, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang masih tidak pulang sejak dilaporkan hilang Selasa lalu.
Berkongsi dengan mStar, Syarifah Rosfazila berkata, sebelum kehilangan Dhia, dia sempat memberi teguran kepada anaknya itu selepas dimaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut tidak hadir ke sekolah pada hari kejadian.
“Saya dimaklumkan oleh seorang gurunya yang Dhia tak hadir pada hari itu. Sedangkan pada sebelah pagi, dia pakai baju sukan sekolahnya. Dia kata, dia pergi beli barang kejutan untuk saya.
“Sebab itu saya tegur dia. Dia nafikan dan jawab, ‘semua tak percaya padanya’. Saya kata nanti kita pergi ke sekolah dan minta dia cakap sendiri dengan bapanya mengenai hal itu.
“Kemudian saya beritahunya nak keluar rumah untuk beli barang dapur. Sekejap saja saya keluar, tapi apabila balik, dia dah tak ada,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata ini.
Wanita tersebut menambah, dia mula berasa tidak sedap hati selepas Dhia masih tidak pulang menjelang waktu berbuka puasa, dan berlarutan sehingga masuk hari ketiga, iaitu Jumaat.
“Saya dah bertanya jiran, kawan-kawannya malah pergi ke sekolahnya. Tapi sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan.
“Dia ada pergi ke rumah kawannya, tapi kemudian mereka tak tahu dia ke mana. Ada juga yang nampak Dhia berada di sekitar rumah kami, tapi mereka tak tahu bahawa Dhia sebenarnya tak pulang.
“Inilah kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Tak berselera saya nak jamah buka puasa memikirkan keselamatannya.
“Tengok baju raya yang dah saya belikan untuknya, tengok taman permainan yang selalu dia pergi, mengalir air mata… seolah-olah ternampak wajahnya,” katanya dalam nada sebak.
Syarifah Rosfazila menambah, nalurinya kuat mengatakan bahawa Dhia kini sedang berada di rumah rakannya.
Justeru, dia merayu agar anak gadisnya itu segera pulang ke pangkuan keluarga, selain meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubunginya.
“Dhia, baliklah ya. Kepada individu yang ada bersama Dhia, mohon beri kerjasama,” akhirinya.
Terdahulu, heboh berita mengenai kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya sejak Selasa lalu.
Kehilangan murid Sekolah Kebangsaan Perempuan Pudu 1 itu turut disebarkan di Facebook untuk mendapatkan bantuan orang awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan satu laporan polis diterimanya pada Khamis.
“Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan tindakan mengesan sedang giat dijalankan” katanya.