Komposer legenda, Datuk S Atan meninggal dunia di usia 75 tahun

Komposer legenda, Datuk S Atan meninggal dunia di usia 75 tahun

 

Komposer legenda, Datuk S Atan meninggal dunia di usia 75 tahun.

Maestro muzik, Datuk S Atan atau nama sebenar, Hashim Said, 75, meninggal dunia di kediamannya di Kajang, petang ini akibat jangkitan kuman paru-paru.

Berita pemergian S Atan disahkan isterinya, Datin Norizan Yeob.

“Ya, suami saya sudah tiada. Cuma saya belum dapat beri sebarang maklumat kerana masih menunggu pihak berkaitan untuk mengesahkan terlebih dahulu.

“Suami saya meninggal dunia di rumah,” katanya ringkas ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, menantu Allahyarham S Atan, iaitu Shazana Darawin berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang di kediamannya di Bukit Kajang Baru, pada jam 3.23 petang tadi.

“Arwah disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru.

“Buat masa ini, jenazah masih di rumah dan urusan mandi, kapan, solat dan pengebumian akan dimaklumkan kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan,” katanya kepada BH Online.

Pada September lalu, media melaporkan Allahyarham S Atan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di sini, akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Bagaimanapun, ketika itu arwah dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35 pada 11 Okotber lalu, komposer legenda itu menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas bakti dan sumbangan dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu.

S Atan yang berasal dari Singapura, cukup terkenal dengan koleksi lagu raya.

Antara lagu raya malar segar sentuhan emasnya adalah Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Cahaya Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa dan banyak lagi.

Apa yang menarik, jiwa kemelayuan S Atan cukup menebal dalam setiap karya dan itulah yang menjadi rahsia lagunya masih diputarkan di corong radio.

Memulakan kerjaya seni sejak berusia 17 tahun, S Atan bekerja dengan ramai penyanyi hebat tanah air antaranya Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Carefree, Black Dog Bone dan ramai lagi.

S Atan pernah bekerja di Taiwan selama dua tahun dan menggubah lagu-lagu Cina untuk pasaran muzik di negara itu.

Pada Ogos 2023, S Atan dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk pada sambutan Hari Jadi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.