Dah 6 tahun kahwin, mekanik masih malu, jadikan tangan berkarat sebagai isu, isteri langsung tak geli tapi bangga
Zaman sekarang, pekerjaan atau tahap pendidikan biasanya menjadi ukuran kejayaan dalam menilai seseorang.
Namun, tidak bagi wanita ini apabila dia langsung tidak memandang rendah pekerjaan suaminya sebagai mekanik malah bangga dengan sumber rezeki mereka sekeluarga.
Wanita berkenaan, Maryam Suri berkongsi satu hantaran menceritakan mengenai suaminya yang kurang yakin dengan diri sendiri dan bimbang jika si isteri malu dengan pekerjaannya.
Menerusi hantaran yang dibuat, dia turut berkongsi satu video menunjukkan tangan suaminya yang kasar dan kotor sewaktu mereka berjalan sambil berpegangan tangan kelihatan seperti di sebuah pusat beli belah.
“Suami saya seorang pomen (mekanik). Hari-hari balik kerja dengan tangan yang agak hitam dan kotor.
“Mana tidaknya setiap hari bermain dengan minyak apa semua kan. Sental dengan sabun pun berkarat jugalah tangannya.
“Selalu tengok dia tanya yang, tak apa ke tangan B (panggilan suami) begini? Kasar… hodoh. Tak malu ke? Selalu tanya begitu sambil tunjuk tangan dia,” katanya di ruangan kapsyen.
Dalam video dikongsikan, wanita ini turut menunjukkan tapak tangan suaminya yang dikatakan kotor, kasar dan mempunyai kesan minyak hitam.
Bagaimanapun, kata Maryam, dia tidak sedikit pun berasa geli atau malu dengan lelaki itu apabila mereka keluar bersama.
“Dalam video ni pun dia tengah tanya juga tu ayat yang sama. Entahlah… tak rasa kotor pun bagi saya. Tangan tu juga la yang memberi rezeki untuk keluarga kecil kami.
“Nafkah yang mencukupi buat saya dan anak-anak. Kenal dia dah 13 tahun, enam tahun usia perkahwinan kami.
Saya malu kak tak berjaya. Jadi pomen. Kawan-kawan selalu bahan.
“Tak pernah jadikan isu bab tangan dia ni. Syukur dengan apa yang dikurniakan. Semoga luas rezeki buat suamiku dan diberikan kesihatan yang baik,” ujarnya sambil menitipkan doa.
Hantaran dibuat wanita ini menjadi tular di media sosial apabila ramai yang turut meluahkan pendapat mereka.
Malah, terdapat beberapa mekanik lain juga meluahkan isi hati mereka di ruangan komen.
“Saya malu kak tak berjaya. Jadi pomen. Kawan-kawan selalu bahan.
“Saya pomen juga. Bagi saya la kan, kadang-kadang kita ni lelaki segan dengan tangan kita kak kalau nak pegang orang yang kita sayang.
“Anak saya pun pomen. Kadang-kadang kasihan tengok. Kuku hitam, balik bau minyak. Muka jangan kata la… Ya Rabbi,” demikian antara komen netizen.