Cubaan masuk ke Kelantan gagal, 6 kenderaan diarah patah balik

Cubaan masuk ke Kelantan gagal, 6 kenderaan diarah patah balik

 

Tindakan cuba nasib enam pemandu kenderaan untuk memasuki Kelantan gagal apabila diarah berpatah balik kerana tidak lengkap suntikan vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, arahan itu dikeluarkan kepada mereka yang sampai ke sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9 Sungai Lebey, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli setakat semalam.

“Terdapat beberapa kenderaan di mana pemandu dan penumpang didapati tidak lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Pemandu kenderaan ini mencuba nasib untuk pulang ke Kelantan namun tidak bernasib baik semasa pemeriksaan di SJR, mereka gagal menunjukkan pengesahan sudah lengkap divaksinasi.

“Mereka kemudiannya diarahkan berpatah balik dan tidak dibenarkan merentas negeri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas gambar tular kesesakan di JRTB Gerik-Jeli menghala ke Kelantan, beliau memberitahu kejadian itu berlaku kelmarin pada pukul 4 petang.

Katanya, kenderaan bergerak perlahan dalam jarak 1.5 km dari SJR di KM 9 Sungai Lebey . Pemeriksaan secara teliti dijalankan petugas SJR ke atas pemandu dan penumpang kenderaan yang hendak merentas negeri.

“Hanya pemandu dan penumpang  yang lengkap dua dos suntikan vaksin dibenarkan untuk merentas negeri seperti mana arahan yang dikuatkuasakan.

“Bagaimanapun, kesesakan tidak terlalu lama dan kenderaan masih bergerak perlahan. Kesesakan berlaku apabila orang ramai mengambil peluang bercuti panjang untuk ke Kelantan bermula Jumaat sehingga Selasa ini,” katanya.

Menurutnya, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) telah diarahkan untuk membuat pemantauan sepanjang laluan JRTB Gerik-Jeli.

Katanya, pemantauan dan rondaan dari Balai Polis Bersia turut dijalankan di sepanjang laluan dari masa ke semasa.

“Keadaan lalu lintas lancar di jalan JRTB Gerik-Jeli. Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan sejak kelmarin,” katanya seperti dilapor Utusan.