“CGPA saya 3.73” – Aney ‘one by one’ dedah ada diploma, nasihat anak muda elakkan dari kawan negatif

“CGPA saya 3.73” – Aney ‘one by one’ dedah ada diploma, nasihat anak muda elakkan dari kawan negatif

 

Aney One By One Gentleman yang tular kerana bergaduh dengan seorang pemilik kedai telam menjadi sorotan sejak kebelakangan ini.

Jumlah pengikut di TikTok miliknya juga semakin bertambah sehingga dipanggil influencer ketika ini.

Terbaru, lelaki yang menggunakan nama akaun TikTok thiran1040 berkenaan telah berkongsi satu video menceritakan tentang kehidupannya yang merupakan seorang pelajar yang cemerlang sewaktu mengikuti program diploma.

“Saya Inthiran, umur saya 39 tahun. Saya menetap dan membesar di Pulau Pinang. Saya belajar di Politeknik Seberang Perai dan menghabiskan diploma dalam bidang logistics and supply chain. CGPA saya 3.73,” ujarnya.

Selain daripada menceritakan serba sedikit mengenai latar belakangnya, Inthiran turut memaklumkan berkenaan hobi yang dilazimi olehnya iaitu karate.

Dia memaklumkan sudah mengikuti kelas seni mempertahankan diri tersebut sejak berusia 8 sehingga 17 tahun lagi.

Lelaki terbabit juga kerap bersenam di gimnasium, menjejak hutan, menunggang motosikal berkuasa tinggi dan mengakui sukakan aktiviti berbentuk sukan.

Dalam video yang dikongsi di platform TikTok tersebut, lelaki berkenaan turut memberikan sedikit nasihat kepada anak-anak muda supaya tidak terlibat dalam kelompok dan aktiviti yang negatif.

“Jangan involve dalam aktiviti-aktiviti negatif seperti menghisap dadah, merokok, mengambil alkohol, aktiviti yang membinasakan.

“Seeloknya berusaha mengharumkan nama keluarga, masyarakat dan negara. Anak-anak muda muda adalah harapan negara pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu, video Inthiran bergaduh dengan seorang pemilik kedai telah menjadi perhatian ramai sehingga banyak parodi melibatkan kejadian tersebut tular di media sosial.

Tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan tampil menjelaskan hal berkenaan dan meminta maaf kerana mabuk pada malam tersebut.

Mereka juga sudah berdamai dan saling bersalaman di balai polis setelah disiasat susulan ada pihak yang membuat laporan polis berhubung pergaduhan antara mereka.