Buat ‘u-turn’ jual Perak FC kepada pihak lain, IMC bakal disaman?

Buat ‘u-turn’ jual Perak FC kepada pihak lain, IMC bakal disaman?

 

Akibat maruah tercalar kerana gagal menemui noktah penjualan Perak FC menyebabkan pemilik JR Resources bakal mengemukakan saman kepada bekas pemilik pasukan terbabit Impact Media & Communications (IMC).

Situasi itu disahkan sumber rapat JR Resources yang memaklumkan tindakan itu bagi memulihkan kembali imej syarikat terbabit berkaitan penjualan Perak FC selepas kedua-dua pihak tidak menemui jalan penyelesaian.

Menurut sumber, persetujuan bersama sudah dicapai antara kedua-dua pihak namun IMC membuat ‘pusingan-U’ apabila menjualnya kepada pihak lain.

“Kami kemungkinan besar akan meneruskan tindakan undang-undang kepada IMC kerana pada peringkat awal sudah bersetuju namun pasukan itu dijual kepada pihak lain.

“Pada masa sama, kami juga mempersoalkan tindakan penjualan pasukan terbabit sama ada memenuhi kriteria yang ditetapkan atau sebaliknya,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Baru-baru ini, Perak FC tampak akan terselamat daripada risiko disingkirkan dari Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas kelab itu sah akan mendapat pemilik baharu dalam tempoh dua minggu lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata skuad Bos Gaurus sudah pun ‘diikat’ syarikat XOX Bhd selepas kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) 29 April lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, pengesahan rasmi mengenai pengambilalihan Perak FC oleh syarikat terbabit akan berlangsung dua minggu lagi.