“Saya bukan nak menunjuk..” – Black Hanifah

“Saya bukan nak menunjuk..” – Black Hanifah

 

“Saya bukan nak menunjuk..” – Black Hanifah

Bukan mahu mempamerkan kemewahan dimiliki, sebaliknya penyanyi, Black Hanifah, 37, berkongsi mengenai perniagaan vila miliknya di Langkawi, Kedah di media sosial kerana mahu memberi inspirasi kepada orang ramai.

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah berkata, dia juga mendapat banyak maklum balas positif dari pengikut di media sosial yang berminat untuk menceburi perniagaan sebagai jaminan masa depan.

“Saya bukan nak menunjuk kepada orang, sebaliknya mahu kongsi ilmu dan beri inspirasi mengenai bidang perniagaan dan tidak semestinya membina vila atau resort saja.

“Selepas saya kongsi mengenai perniagaan vila ini, ramai rakan yang terikut cara saya dengan membeli tanah dan sebagainya,” katanya.

Mengenai perkongsian di TikTok, Black berkata, dia juga mahu menarik pengunjung untuk menginap di vilanya itu.

“Perniagaan vila seperti ini perlu dipromosikan kepada orang ramai di media sosial membabitkan lokasi, kemudahan disediakan dan sebagainya.

“Saya bersyukur dengan perkongsian video mengenai vila kelmarin, ramai orang yang hantar WhatsApp dan kami juga dapat banyak tempahan untuk bilik. Contohnya, bilik sudah habis ditempah sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (Lima’25) yang berlangsung pada 20 hingga 24 Mei ini,” katanya.

ANTARA vila yang diusahakan Black di Langkawi, Kedah.

Berkongsi kejayaannya sebagai usahawan, Black bersyukur dengan kejayaan dikecapi ketika ini.

“Alhamdulillah, selepas melalui pelbagai dugaan dalam tempoh tiga tahun, terkini saya dalam proses membina vila ketiga pula tahun ini.

“Vila pertama iaitu Rindu D’Villa dan kedua Dayyan D’Villa. Selain itu, saya juga sudah membina rumah untuk didiami bersama keluarga serta kafe di lokasi sama.

“Sebagai anak seni, bukan bidang nyanyian saja, tapi sebagai artis yang sudah berkeluarga, kita perlu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat termasuk berjaya dalam perniagaan diceburi.

“Kejayaan saya hari ini berkat dorongan dan sokongan isteri sebagai tulang belakang dan ‘menumpang’ rezeki anak-anak,” katanya.

Terdahulu, perkongsian video Black mengenai perniagaan vila miliknya di Langkawi, Kedah yang dimuat naik di TikTok mencuri perhatian ramai.