Bendera Perak dikibar separuh tiang: NGO buat laporan polis

Bendera Perak dikibar separuh tiang: NGO buat laporan polis

Kelab Kebajikan Masyarakat Ipoh Selatan membuat laporan polis berhubung insiden kumpulan tidak dikenali yang bertindak menurunkan bendera Perak separuh tiang di Stadium Perak malam tadi.

Pengerusinya, Al Yashir Yahaya berkata, tindakan itu sangat biadap dan merendah-rendahkan darjat bendera Perak serta pemerintah negeri kerana pengibaran bendera separuh tiang hanyalah untuk kes tertentu seperti kematian pembesar negeri atau negara.

“Kami meminta polis untuk menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan kerana ia mengganggu gugat kestabilan perpaduan di negeri ini dan berharap tiada lagi insiden yang sama dilakukan di masa akan datang,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat, hari ini.

Justeru, beliau menasihati semua rakyat di negeri ini agar menghormati bendera dan jata negeri kerana ia adalah lambang kedaulatan tidak kira apa kepercayaan atau bangsa.

Terdahulu, media tempatan melaporkan isu gaji lewat terus mencengkam pemain Perak FC hingga bertindak memboikot latihan di Stadium Perak, malam tadi.

Latihan yang sepatutnya bermula jam 10 malam sebaliknya bertukar menjadi sesi perbincangan antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Rizal Ali Naiz Ali.

Antara isu dibangkitkan ialah kelewatan pembayaran gaji serta pemain mahu meninggalkan pasukan.

Dalam suasana kalut itu ada pihak menangguk di air keruh dengan mengibarkan bendera Perak separuh tiang. – HM