“Allah pertemukan kami” – Ibu meninggal dunia dalam tidur, bayi Faleeq terima susu dari ibu arwah bayi Handzalah
“Allah pertemukan kami” – Ibu meninggal dunia dalam tidur, bayi Faleeq terima susu dari ibu arwah bayi Handzalah
Ibu meninggal dunia dalam tidur, bayi dikenali Faleeq berusia 2 bulan kini temui ibu susuan selepas wakil keluarga wanita berkenaan meminta bantuan mana-mana wanita untuk menyusukan anak itu.
Namun, siapa sangka bayi itu menerima susu daripada seorang wanita yang juga baru kehilangan anak dikenali Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan, empat bulan, selepas ditemukan tidak sedarkan ketika berada di sebuah taska dekat Bandar Saujana Putra, baru-baru ini.
Perkongsian itu dikongsikan oleh wanita berkenaan menerusi beberapa hantaran di Instagram Story, semalam.
Menerusi perkongsian itu, ibu kepada bayi Handzalah, Sri Wahyuni Rahman, 28, memaklumkan keluarganya dan keluarga bayi yang kehilangan ibu itu telah dipertemukan.
Maklumnya, bayi Faleeq itu telah menerima susu daripadanya yang juga baru kehilangan anak.
“Alhamdulillah, Allah pertemukan kami. Faleeq baru kehilangan ibunya yang meninggal dunia dalam tidur. Susu Handzalah kini milik Faleeq.
“Percaturan Allah,” tulis Sri Wahyuni Rahman dengan menyertakan gambar suaminya bersama bapa bayi Faleeq.
Sri Wahyuni Rahman turut menyatakan wajah bayi Faleeq seperti arwah anaknya.
“Ibu doakan semoga awak membesar menjadi anak yang soleh dan patuh, ya. Comel dia. Muka pun nak sama dengan Handzalah,”
Terdahulu, kisah seorang ibu muda yang meninggal dunia dalam pelukan suami ketika tidur benar-benar meruntun hati ramai memandangkan dia baru sahaja selesai menyusukan anaknya berusia dua bulan.
Difahamkan, hasil post mortem mendapati allahyarham mengalami jangkitan pada paru-paru, namun suaminya menyatakan yang arwah tidak menunjukkan sebarang tanda sedang sakit dan mereka juga baru sahaja pulang bercuti.
Susulan itu, wakil keluarga kepada wanita berkenaan telah meminta bantuan untuk mencari ibu susuan buat bayi allahyarham yang masih menyusu badan.
Sementara itu, ibu kepada bayi lelaki, Khairul Handzalah Sufi iaitu Yuni Rahman menuntut keadilan buat anak keduanya yang meninggal dunia tanpa diberitahu sebab atau punca secara terperinci oleh pihak taska.