“Pempengaruh itu mabuk spotlight” – Azhan Rani

“Pempengaruh itu mabuk spotlight” – Azhan Rani

 

“Pempengaruh itu mabuk spotlight” – Azhan Rani

“Saya istilahkan golongan ini sebagai mabuk ‘spotlight’ (perhatian). Mereka tamak mahukan perhatian.”

Demikian kata pelakon, Azhan Rani, 49, mengenai kenyataan pempengaruh yang memperlekehkan jurusan komunikasi media, teater, muzik dan seni tari sebagai cabang pendidikan bodoh, baru-baru ini.

Azhan berkata, golongan yang dahagakan perhatian bukan saja dalam kalangan pempengaruh, malah terdapat juga artis yang mempunyai sikap sedemikian bagi meraih populariti secara mendadak.

“Keadaan ini bukan hanya berlaku dalam kalangan pempengaruh, malah artis pun ada. Mereka sukakan perhatian.

“Bagi mereka, kalau ada cerita buruk yang boleh menaikkan nama, mereka sanggup buat,” katanya ketika ditemui.

Azhan berkata, segelintir pempengaruh sanggup membuat apa saja untuk dikenali sebagai salah satu cara untuk mendapatkan jumlah tontonan tinggi di platform media sosial.

“Kita kena sedar pempengaruh ini kadang-kadang mereka perlu petik perkara yang kontroversi demi mendapatkan jumlah tontonan dan tanda suka yang banyak.

“Jadi, saya anggap tindakan dia sebagai salah satu permainan untuk dikenali. Kita jangan ikut rentak dia sebab yang dapat untung adalah pempengaruh itu sendiri.

“Kepada graduan-graduan kursus yang diperkatakan pempengaruh itu, kita tak perlu melatah. Kita boleh bezakan orang berilmu dan sebaliknya,” katanya.

Azhan adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Terdahulu, tindakan seorang pempengaruh yang melabel jurusan MassComm (Komunikasi Media), teater, muzik dan tarian tradisional sebagai perkara bodoh dan tidak mempunyai manfaat untuk diambil.

Kenyataan individu terbabit mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat terutama bagi penuntut jurusan berkenaan.