Pernah tular jual ayam goreng kunyit RM20, peniaga di Langkawi didenda RM10,000
Pernah tular jual ayam goreng kunyit RM20, peniaga di Langkawi didenda RM10,000.
Peniaga kedai makan yang pernah tular menjual menu ayam goreng kunyit RM20 di Pantai Chenang dikenakan hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Langkawi.
Tertuduh, Asyuni Mastura Basri, mengaku bersalah kerana gagal menyimpan rekod belian dan jualan produk masakan seperti dikehendaki Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemilik premis Danau Bingkuong Enterprise didakwa gagal menyimpan resit dan menyenggara rekod jualan dari Januari 2021 hingga 30 November 2023.
Mengikut fakta kes, premis terbabit yang dimiliki tertuduh menjual masakan ayam goreng kunyit RM20 kepada orang awam dan isu itu tular di media sosial selepas dimuat naik pengadu pada 14 Januari lalu.
Selepas siasatan dibuat, tertuduh gagal mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengemukakan invois jualan dan belian produk.
Disebabkan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 53A(3) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, isu tersebut kecoh di laman sosial kerana peniaga menjual makanan pada harga yang mahal dan tidak sepadan dengan menu yang dijual.
Peniaga bagaimanapun mempertahankan harga jualan tersebut kerana sudah tertera dengan jelas pada buku menu dan mendakwa kadar sewa kedai juga tinggi di kawasan itu berbanding kawasan lain.