“Ibarat kereta rosak” – Ashraf Muslim ingatkan dua isteri jangan buka aib di media sosial

“Ibarat kereta rosak” – Ashraf Muslim ingatkan dua isteri jangan buka aib di media sosial

 

“Ibarat kereta rosak” – Ashraf Muslim ingatkan dua isteri jangan buka aib di media sosial

Pelakon Ashraf Muslim berpendapat plafform media sosial bukanlah tempat untuk menyelesaikan masalah, terutama soal peribadi.

Ashraf berkata, platform media sosial boleh membawa lebih banyak masalah.

Justeru, Ashraf mengingatkan pengguna media sosial lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang hantaran dan memikirkan kesan yang bakal terjadi kepada keluarga dan insan terdekat.

“Jangan jadikan media sosial sebagai platform untuk selesaikan masalah sebab tidak semestinya di platform ini dapat membantu meringankan bebanan.

“Sebaliknya, media sosial menyumbang masalah lebih banyak, jadi kena berhati-hati. Tidak semestinya orang luar suka atau sokong kita.

“Kalau sayangkan diri, keluarga dan orang sekeliling, berhati-hatilah dalam membuat keputusan berkongsi dalam media sosial,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran aplikasi Khawla Showcase di ibu negara.

Pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu berkata, apa sahaja masalah membabitkan keluarga sepatutnya disimpan dengan kemas, bukan didedahkan untuk tatapan umum jika timbul masalah.

Malah, Ashraf turut mengingatkan kedua-dua isterinya supaya memanfaatkan penggunaan media sosial dengan sebaiknya.

“Keluarga adalah harta yang perlu dijaga dengan baik. Tidak kisah sama ada kebaikan, keburukan atau aib, sebagai keluarga kitalah perlu jaga dengan baik.

“Ibarat seperti kereta rosak, takkan nak biarkan tengah jalan begitu sahaja. Kitalah yang kena baiki sikit demi sikit.

“Janganlah kita gunakan amarah dengan selesaikan di tempat yang tidak sepatutnya, termasuklah media sosial.

“Media sosial adalah platform yang bagus, tetapi kalau digunakan dengan cara tidak bagus, lama-kelamaan ia akan merosakkan hubungan dengan orang tersayang, diri sendiri dan keturunan,” katanya.

Ashraf juga mengingatkan berhati-hati sebelum menulis di platform media sosial kerana bimbang boleh menyinggung perasaan orang lain.

“Jadi, kena berhati-hati apabila berkata-kata atau menunjukkan dari segi perbuatan. Ia boleh membuatkan orang lain berkecil hati. Perkara ini mungkin akan memberi kesan yang tidak baik kepada orang lain dan diri sendiri.

“Bagi saya, janganlah kita buka cerita dan aib sama ada baik atau buruk dalam media sosial. Simpanlah, takkan semua perkara mahu dikongsi,” katanya.