Meninggal dunia selepas terlibat kemalangan, perkongsian arwah Siti Khazira undang sebak

Meninggal dunia selepas terlibat kemalangan, perkongsian arwah Siti Khazira undang sebak

 

Meninggal dunia selepas terlibat kemalangan, perkongsian arwah Siti Khazira undang sebak

“Ibu akan sentiasa cuba cipta memori untuk kita semua supaya nanti boleh tengok semula macam mana abah sentiasa bagi yang terbaik untuk Tuah, Teja, Jebat dan Maryam.”

Demikian perkongsian yang pernah dimuat naik oleh mangsa kemalangan maut, Siti Khazira Bani,35, di akaun Facebook miliknya yang kini hanya tinggal kenangan.

Menurut kakak sulungnya, Nur Hafiza Bani, 36, Siti Khazira merupakan ibu yang baik sama seperti suaminya, seorang pelukis pelan dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan.

Tangkap layar hantaran Siti Hazira sebelum dia meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Siti Khazira dan suaminya, Nasaarudin serta anak perempuan, mereka, Maryam maut dalam nahas pada malam Khamis.

Katanya, adik dan suaminya itu sudah membuat pelbagai persiapan menyamput Hari Raya Aidilfitri untuk anak-anak mereka dan tidak sabar pulang ke kampung halaman, di sini bagi bertemu dengan keluarga masing-masing.

“Saya masih tidak percaya yang adik saya dan suaminya, Nasarudin Pardi, 36 serta anak bongsu mereka, Mariam, 2, sudah tiada.

“Tiga orang anaknya terselamat termasuk anak ketiganya yang baru berusia empat tahun, namun dia tidak memahami apa yang berlaku dan dia kini berada di rumah kami.

“Anak sulung dan kedua arwah masih di Hospital Kluang bagi menjalani rawatan serta berada dalam keadaan stabil. Mereka masih kanak-kanak, mungkin mengambil masa untuk memahami apa yang berlaku,” katanya.

Kata Nur Hafiza, dia berasa tidak sedap hati selepas Allahyarham Siti Khazira tidak membalas WhatsApp, namun tidak menyangka adiknya terlibat dalam nahas jalan raya yang meragut nyawanya.

Menurutnya, adiknya sekeluarga bertolak pulang ke kampung pada 9 malam selepas solat Isyak dan sepatutnya merakam gambar kenangan raya pada 10 pagi hari ini namun tidak kesampaian.

Katanya, kali terakhir mereka berjumpa pada minggu pertama puasa dan sempat berbuka bersama-sama.

“Kami sekeluarga rancang untuk merakam gambar raya sekeluarga pada pagi ini dan petang ini berbuka puasa bersama-sama.

“Biasanya kami semua akan beraya di sini rumah mak dahulu, petang raya baru adik akan ke rumah belah suami yang tinggal di taman yang sama. Malam raya pula kami akan bergerak ke rumah nenek di Pontian, memang begitulah setiap tahun,” katanya.

Tambahnya, sambutan Aidilfitri yang sepatutnya indah bertukar sayu pada tahun ini dan keluarganya akan merindui arwah selamanya.

“Soal penjagaan anak-anak arwah kami tiada masalah untuk menjaga anaknya tambahan pula mereka semua rapat dengan nenek di sini,” katanya.