Jumpa syiling berterabur di ruang kedai, Amir Raja Lawak dakwa disihir
![Jumpa syiling berterabur di ruang kedai, Amir Raja Lawak dakwa disihir Jumpa syiling berterabur di ruang kedai, Amir Raja Lawak dakwa disihir](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2025/02/bp-amir-sihir-e1739242344933.jpg)
Jumpa syiling berterabur di ruang kedai, Amir Raja Lawak dakwa disihir
Penemuan beberapa keping duit syiling sekitar ruang niaga yang dikaitkan dengan sihir kedai sering dialami peniaga.
Perkara itu turut dialami pelakon dan pelawak Amir Raja Lawak, 36, sejak lebih sebulan lalu apabila menemui syiling berterabur di beberapa ruang kedainya di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Amir atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi berkata, dia tidak terlalu mengendahkan penemuan beberapa keping syiling yang dianggap mungkin terjatuh oleh pelanggan.
“Bagaimanapun, ada lagi penemuan lain di tempat berbeza dan kebiasaannya perkara ini selalunya berkaitan dengan sihir. Tapi, saya masih lagi ‘husnudzon’ dengan menganggap tiada apa-apa berlaku.
“Hari demi hari perjalanan operasi kedai agak terganggu dan ramai pengunjung bertanya kenapa kedai ditutup, sedangkan setiap hari premis beroperasi seawal jam 11 pagi.
“Itu yang menjadi kemusykilan dan lama kelamaan saya akui ia ada kaitan dengan sihir. Menerusi perkongsian dalam TikTok, ramai juga memberi pendapat sama,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Amir berkata, selain kedai dilihat tutup, kesan juga dialami pekerjanya apabila sering sakit kepala dan sakit-sakit badan, ia kemungkinan besar disebabkan menyentuh syiling berkenaan.
Menurutnya, dia ada merujuk ustaz dan pengamal perubatan Islam, namun belum berkesempatan lagi untuk bersemuka, seterusnya mencari ikhtiar untuk menjadikan keadaan pulih seperti biasa.
“Saya ada pengalaman sama ketika berniaga air menerusi bonet kereta di Kajang, Selangor apabila terjumpa syiling berterabur di tapak jualan.
“Bagaimanapun, perkara ini dapat dielak kerana kaedah jualan secara bergerak. Saya tiada masalah berpindah ke lokasi lain, tapi kali ini saya mengusahakan kedai dan tidak mudah untuk dielakkan,” katanya.
Amir mengakui, dia tiada musuh dan menganggap perkara itu sebagai rencah sebagai peniaga, selain hanya menyerahkan kepada Allah selain mencari ikhtiar terbaik.
Menafikan laluan perniagaannya selama ini lancar disebabkan dirinya bergelar selebriti, Amir sebaliknya berkata, dia tetap berhempas pulas membangunkan perniagaan dengan bermula dari bawah.
“Kalau nak kata ‘struggle’, saya juga macam orang lain, laluan perniagaan tidak mudah walaupun saya artis.
“Saya tiada musuh dan apabila ditimpa ujian seperti ini, saya anggap sebagai asam garam sebagai orang berniaga. Saya letak sepenuhnya ketentuan rezeki kepada Allah,” katanya.
@amirrajalawak3 Siapa ada kedai, dan selalu jumpa syiling dekat kedai? Ape solutions anda buat? #Fyp #FypMalaysia #FoodFestival #FoodFest #HavocFestival #KotaBharu #Kelantan #AmirRajaLawak