“Aku guna anak sebagai point..” – Meluat tengok madu, isteri pertama cuba buat suami cerai bini kedua

“Aku guna anak sebagai point..” – Meluat tengok madu, isteri pertama cuba buat suami cerai bini kedua

 

CINTA terlarang sememangnya memeritkan, lebih-lebih hubungan yang terjalin selama bertahun-tahun.

Begitulah yang dilalui oleh seorang wanita yang bercinta selama lapan tahun bersama jejaka pilihan, namun tidak mendapat restu keluarga.

“Famili tak bagi kahwin, mereka tak berkenan dengan suami aku,” katanya menerusi satu luahan di Facebook.

Namun gara-gara hubungan tidak direstui, teman lelaki mula mengenali wanita lain dan merancang untuk berkahwin.

Keadaan itu membuatkan dirinya hilang arah sehingga nekad untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan.

“Aku paksa suami aku berkahwin tanpa restu famili. Aku urus semua urusan perkahwinan sendiri. Suami aku macam serba salah.

“Aku cakap aku izin dia kahwin dengan perempuan tu, asalkan kahwin dengan aku. Jadi, kami pun berkahwin,” katanya sambil menambah suaminya memperisterikan perempuan itu sejurus selepas mereka mendirikan rumah tangga.

Hakikat yang pahit untuk ditelan selepas berkahwin, wanita itu sebenarnya mengakui dirinya tidak boleh hidup bermadu.

Malah dia juga merancang membalas dendam dan mahu menghancurkan rumah tangga suaminya bersama isteri kedua.

Strateginya bermula selepas dikurniakan cahaya mata yang mana dijadikan ‘senjata’ untuk mengambil hati dan mengawal suami.

“Rezeki aku terus dapat anak. Jadi aku guna anak sebagai point nak kawal suami aku. Mereka dah berkahwin cuma tak ada anak lagi.

“Tapi aku aman, aku ada anak. Suami aku lemah soal anak. Jadi aku tahu dia memang banyak masa dengan aku dan anak,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, perasaan bencinya terhadap madunya tetap membuak-buak.

Malangnya, madunya seperti enggan mengalah dan tegas dengan pendiriannya untuk terus bersama suami.

“Dia tak bercerai pun walaupun suami aku tak ada giliran bersama dia. Suami aku ada meluahkan rasa tak ada nikmat hidup, selalu stres.

“Aku tak peduli. Janji dia ada dengan aku dan anak. Tolak tepi perempuan tu,” tegasnya.

Pejam celik, pejam celik dia terpaksa akur menjalani kehidupan bermadu selama tiga tahun.

“Tiga tahun hidup aku macam ni dan tiga tahun juga aku dimadukan sebab memang terus berkahwin selepas suami kahwin dengan aku.

“Ada masa aku puas hati dapat halang suami aku bersama perempuan tu. Tapi aku tahu suami aku menderita.

“Aku tak akan bercerai sebab suami aku sayang anak ni dan aku pun sayang dia. Macam-macam aku dah buat. Dia (bini kedua) masih isteri suami aku,” katanya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakannya yang membalas dendam terhadap orang lain demi kebahagiaan diri sendiri.

“Jahatnya perangai dan hati budi awak ni ye, pentingkan diri sendiri. Moga Allah tunjukkan jalan yang lurus buat awak.

“Selagi dendam kesumat ada, jiwa dan kehidupan tak akan tenang. Semua ni pinjaman je. Apa la nikmat hidup dalam ketidakpuashatian, tak ada restu keluarga dan stres.

“Berdamailah dengan takdir. Berdosa awak buat suami dalam keadaan tidak adil dalam poligami. Awak sama-sama tanggung dosa tu,” komen netizen.