Zoo jual air kencing harimau RM30 sebotol, dakwa boleh rawat sakit otot
Zoo jual air kencing harimau RM30 sebotol, dakwa boleh rawat sakit otot
Sebuah zoo di China mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila menjual air kencing harimau dan mendakwa ia boleh merawat penyakit reumatik atau radang kronik.
Seorang pelawat yang berkongsi di media sosial bahawa Zoo Hidupan Liar Yaan Bifengxia di wilayah Sichuan, barat daya China, menjual ‘air kencing harimau berubat’ daripada harimau Siberia dengan harga 50 yuan (RM30) setiap botol yang mengandungi kira-kira 250 gram.
Sumber dalam talian mendapati bahawa zoo tersebut pernah menjadi lokasi pelancong bertaraf dunia selain diiktiraf sebagai model pelancongan bertamadun di China.
Tulisan label di botol itu mendakwa air kencing harimau mempunyai kesan terapeutik yang baik dan berupaya memulihkan penyakit arthritis rheumatoid, terseliuh dan sakit otot.
Ia mencadangkan diambil dengan cara meminumnya, tetapi memberi amaran supaya menghentikan pengambilannya jika berlaku sebarang tindak balas alahan.
Salah seorang kakitangan di zoo itu memberitahu akhbar The Paper bahawa ‘air ubat’ itu dikumpulkan dari bekas pembuangan air kencing harimau tersebut.
Bagaimanapun tidak dipastikan jika air kencing itu dinyah kuman sebelum dijual kepada orang ramai.
Kakitangan itu berkata, jualan air kencing harimau mendapat permintaan dengan maksimum dua botol berjaya dijual setiap hari.
Pada 2014, zoo itu dilaporkan memberikan air kencing harimau sebagai hadiah kepada pemenang rancangan realiti.
Seorang ahli farmasi dari Hospital Perubatan Tradisional Cina di Wilayah Hubei di tengah China berkata, air kencing harimau bukan ubat tradisional dan ia tidak mempunyai bukti kesan perubatan.
Justeru, beliau menasihatkan pelancong untuk mengikuti panduan perubatan, memberi amaran bahawa menggunakan bahan yang tidak terbukti boleh ‘memburukkan keadaan’.
Seorang lagi pengamal perubatan tradisional Cina mempersoalkan kelayakan zoo untuk menjual produk perubatan, dengan menyatakan bahawa semua ubat mesti diluluskan oleh pengawal selia kerajaan.
Bagaimanapun, kakitangan zoo menegaskan mereka mempunyai lesen perniagaan untuk menjual air kencing harimau tersebut.
Insiden itu tular di media sosial tanah besar China, dengan topik berkaitan mendapat lebih daripada 35 juta tontonan.