“Henti sebar fitnah, kami ada semua bukti..” – SUKE TV didakwa tak bayar gaji pekerja, AC Mizal nak saman

“Henti sebar fitnah, kami ada semua bukti..” – SUKE TV didakwa tak bayar gaji pekerja, AC Mizal nak saman

 

“Henti sebar fitnah, kami ada semua bukti..” – SUKE TV didakwa tak bayar gaji pekerja, AC Mizal nak saman.

Beberapa hari lalu tular mengenai isu beberapa bekas pekerja di sebuah stesen penyiaran milik pengacara terkenal yang mendakwa tidak dibayar gaji selain tertunggak caruman KWSP dan juga Socso.

Dakwaan tersebut juga didedahkan oleh seorang pengacara wanita.

Susulan dakwaan berkenaan, pemilik SUKE TV yang juga merupakan pelakon, pengacara dan usahawan, Datuk AC Mizal menafikan dakwaan tersebut menerusi kenyataan di Facebook SUKE TV.

 

“Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan fitnah dan tohmahan-tohmahan yang tular di media sosial oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab.

“Sepatutnya saya tak perlu balas dan jawab kenyataan tular yang begitu tak bertanggungjawab, tetapi memandangkan ramai yang dah tahu dan bertanyakan isu ini dan untuk mengelakkan salah faham serta fitnah, saya perlu jelaskan di sini,” katanya.

Jelasnya, dakwaan berkenaan adalah fitnah semata-mata dan telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kenyataan dan cerita yang tular tentang kegagalan SUKETV bayar gaji tiga bulan kepada individu-individu tersebut di media sosial adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

“Saya telah mengarahkan peguam saya dan syarikat SUKETV untuk mengambil tindakan undang-undang serta merta terhadap individu-individu yang terbabit berkenaan penularan fitnah ini. Oleh itu biarlah mahkamah yang menentukan salah betul masing-masing.

“Cuma yang saya nak nyatakan, kenyataan-kenyataan fitnah tersebut disebarkan oleh beberapa bekas staff yang antaranya telah ditamatkan perkhidmatan mereka oleh syarikat kerana didapati melanggar syarat-syarat perkhidmatan dengan syarikat. Kami mempunyai semua bukti tetapi kami tak akan mencanangkan butir-butir ini kepada umum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kepada semua pihak hentikan fitnah dan cerita yang tidak berdasarkan fakta sebenar.

“Saya memohon semua untuk berfikir secara tenang, hentikan sebarang sebaran fitnah dan cerita yang tak berasaskan fakta sebenar.

“Pihak saya dan SUKETV sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak sekiranya ada sebarang isu asalkan kita menggunakan saluran yang betul,”katanya.