“Abang kurta vs baju hitam” – Tular video petugas KLIA ditumbuk penumpang, ini puncanya
“Abang kurta vs baju hitam” – Tular video petugas KLIA ditumbuk penumpang, ini puncanya.
Kelewatan mendaftar masuk dipercayai menjadi punca pergaduhan antara individu dengan seorang pekerja syarikat penerbangan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, laporan berkaitan insiden berkenaan dibuat salah seorang individu terbabit.
“Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham petugas syarikat penerbangan dengan seorang penumpang.
“Kejadian mengakibatkan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua individu itu akibat kelewatan masuk untuk mendaftar penerbangan,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kejadian mengakibatkan petugas syarikat penerbangan itu mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan berkaitan kejadian dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar atau memuat naik sebarang kenyataan yang tidak benar serta palsu,” katanya.
Tegasnya, tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sejak pagi Sabtu, tular video memaparkan kekecohan berlaku di KLIA dengan dua lelaki bergelut bertengkar di hadapan sebuah kaunter.
Video pergaduhan itu dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
Menerusi video 31 saat itu, kelihatan seorang lelaki yang mengenakan kurta hijau menghayun penumbuk kepada lelaki berbaju hitam.
Selepas dipukul, lelaki yang menerima tumbukan itu mula menunding jari ke arah individu berkenaan sambil memaki hamun.
Namun, tidak dapat dipastikan butiran perbualan antara kedua-dua individu tersebut.
Kekecohan yang berlaku pada ketika itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh pihak berkuasa yang bertugas di lapangan berkenaan.