Abang cekik adik hingga maut: Bapa dedah kelakuan anak sulung berubah selepas dibuli di asrama

Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia sembilan tahun meninggal dunia kerana dicekik oleh abang sulungnya yang berusia 14 tahun dalam kejadian di Kampung Bukit Piatu, Melaka.
Saksi kejadian yang juga merupakan jiran mangsa berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung dari empat beradik itu sedang mencekik adiknya.
Sedar anak dicekik melalui CCTV
Difahamkan semasa kejadian, ibu mangsa sedang bekerja dan tergerak hati untuk memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya. Secara tidak langsung ternampak kejadian itu lalu segera menghubungi jirannya.
Bapa mangsa, Najli Yakob, 42, tidak menyangka keceriaan tiga daripada empat beradik makan serta bergelak tawa sehari sebelum kejadian adalah kenangan terakhir mereka bersama.
Najli berkata, Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, sememangnya rapat dengan abang sulung berusia 14 tahun itu. Namun kelakuan suspek berubah selepas menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.
Najli yang bekerja sebagai tukang urut mendakwa, anaknya sebelum ini pernah memberitahu dia dibuli dan percaya kesan daripada kejadian tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.
Akibat trauma dan pendam
Tindakan anak sulungnya itu bukanlah pertama kali berlaku. Najli dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Melaka juga pernah dicekik oleh suspek sebelum berlaku tragedi yang meragut nyawa anak ketiga mereka.
“Dia (abang) pernah beritahu dicekik ketika tidur dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat. Akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya.
“Dia mengakui pernah ditumbuk, disepak guna kasut but. Tetapi selepas setahun dia tak lagi sebut nama dua pelajar itu kerana tak mahu dicederakan lagi,” katanya.
Tiada tunjuk sebarang perubahan
Walaupun reda dengan pemergian mangsa, namun mereka berharap dua pelajar yang membuli anak sulungnya itu dikenakan tindakan tegas agar tiada lagi pelajar lain menjadi mangsa seperti yang dilalui oleh anaknya trauma sehingga menyebabkan adiknya sendiri meninggal dunia.
Bercerita lanjut, Najli berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah kelihatan lebih ceria, termasuk ketika mereka bercuti bersama di Kuala Lumpur pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
“Saya rasa bersalah sebab tinggalkan mereka berdua bersama. Keadaan saya lemah dan longlai selepas dihubungi isteri memaklumkan arwah sudah tiada,” katanya.
Jenazah kanak-kanak lelaki itu dibawa ke rumah datuknya di Kampungku Sayang, Bukit Piatu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Piatu.