Pilih kunci kereta yang tepat, kanak-kanak lelaki 6 tahun ‘bertuah’ menang Perodua Axia

Pilih kunci kereta yang tepat, kanak-kanak lelaki 6 tahun ‘bertuah’ menang Perodua Axia

 

Pilih kunci kereta yang tepat, kanak-kanak lelaki 6 tahun ‘bertuah’ menang Perodua Axia

Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun membawa pulang Perodua Axia apabila berjaya memilih kunci kereta yang tepat pada satu acara cabutan bertuah di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Ia umpama ‘hadiah tahun baharu’ kepada Norazemah Nordin sekeluarga selepas rezeki tidak disangka-sangka itu menyebelahi anaknya, Mohd Zulfikar Al Fateh Mohd Fauzi.

Terdahulu pada acara itu, tiga peserta dipanggil ke pentas selepas nombor mereka dicabut sebagai finalis.

Mereka kemudian diminta memilih satu daripada tiga kunci yang kelihatan sama tetapi hanya satu akan dapat membuka pintu kereta disediakan pada acara itu.

Apabila tiba giliran Mohd Zulfikar Al Fateh, kunci yang dipilihnya berjaya membuka pintu kereta terbabit, sekali gus dinobatkan sebagai pemenang.

“Hadiah ini adalah rezeki anak. Ia adalah hadiah tahun baharu yang tidak pernah disangkakan. Kami benar-benar bersyukur,” kata Norazemah yang bekerja sebagai pembantu tadbir sebuah jabatan akaun di Keningau.

Ibu kepada empat anak itu tiba di sini, semalam, untuk mengambil cermin mata ditempah di kedai yang menganjurkan acara cabutan bertuah berkenaan, ROBERT.T 1994 sebelum diberitahu layak menyertai program terbabit.

“Kami sudah ada kereta. Jadi bagi kereta yang baru dimenangi ini pula, kami akan menggunakannya untuk percutian istimewa,” katanya sambil memaklumkan bahawa suami beliau yang bekerja di Kota Kinabalu akan memandu Perodua Axia itu pulang ke Keningau.

Majlis Cabutan Bertuah Robert.T 1994 itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.