Betul ke Malaysia paling banyak cuti? Ini senarai 5 negara paling banyak cuti umum

Betul ke Malaysia paling banyak cuti? Ini senarai 5 negara paling banyak cuti umum

 

Cuti umum merupakan waktu yang cukup dinanti-nantikan oleh semua, khususnya golongan pekerja.

Selain cuti rehat pada hujung minggu, cuti umum juga menjadi peluang terbaik kepada para pekerja untuk berehat sebentar daripada kesibukan dan tugas harian.

Jumlah cuti umum yang banyak juga menjadi kelebihan kepada sesebuah negara, memandangkan penduduknya boleh memanfaatkan peluang tersebut untuk bercuti bersama keluarga tanpa perlu memohon cuti tahunan.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum yang merayakan pelbagai perayaan, Malaysia berada di kedudukan kelapan bagi senarai negara dengan jumlah cuti umum paling banyak.

Terdapat lima negara di dunia yang memiliki cuti umum terbanyak.

Panorama kongsikannya senarai lima negara tersebut seperti dilaporkan oleh portal, bestdiplomats.org.

Nepal (39 hari)

Nepal menduduki tempat pertama bagi senarai negara dengan jumlah cuti umum paling banyak di dunia iaitu sebanyak 39 hari setahun.

Apa yang menjadikan Nepal sebagai negara dengan jumlah cuti umum terbanyak? Ini kerana, majoriti penduduknya beragama Hindu dan Buddha yang menyambut pelbagai perayaan sepanjang tahun.

Antara cuti umum yang dirai negara itu termasuk Maghe Sankranti yang merupakan perayaan tahun baharu bagi kaum Tharu, Diwali serta Udhauli yang merupakan festival suku kaum Sunuwar, Limbu, Yakkha dan Khambu Rai di negara itu.

Myanmar (32 hari)

Myanmar merupakan negara kedua dengan jumlah cuti umum paling banyak iaitu 32 hari setahun.

Salah satu cuti paling penting di Myanmar adalah Festival Air Thingyan yang menandakan tahun baharu tradisional di negara itu.

Perayaan empat hari itu merupakan masa untuk orang ramai berkumpul, menyucikan dosa mereka dan menyambut tahun baharu dengan perlawanan air bersama muzik serta tarian.

Satu lagi cuti penting di Myanmar adalah Hari Kemerdekaan yang disambut pada 4 Januari setiap tahun bagi memperingati kemerdekaan negara itu daripada penjajahan Britain sejak 1948.

Iran (26 hari)

Iran menduduki tangga ketiga bagi negara dengan jumlah cuti umum paling banyak iaitu sebanyak 26 hari setahun.

Hari cuti umum paling signifikan di negara yang terletak di Asia Barat itu adalah Awal Muharram atau tahun baharu dalam kalendar Islam yang dikenali sebagai Nowruz.

Selain itu, satu lagi cuti penting di Iran adalah Hari Raya Aidilfitri yang turut disambut oleh kebanyakan negara-negara Islam lain yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan.

Iran turut menyambut cuti umum kebangsaan, termasuk Hari Revolusi Iran sebagai memperingati Revolusi 1979 yang berjaya menggulingkan pemerintahan monarki dan menubuhkan Republik Islam.

Sri Lanka (25 hari)

Sri Lanka berada di tangga keempat bagi negara dengan jumlah cuti umum paling banyak di dunia iaitu sebanyak 25 hari setahun.

Salah satu cuti paling penting di Sri Lanka adalah Tahun Baru Sinhala yang dikenali sebagai Aluth Avurudda. Ia merupakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Sinhala.

Satu lagi cuti penting di negara itu adalah Tahun Baharu Buddha yang dikenali sebagai Wesak bagi memperingati kelahiran dan kematian dewa Buddha.

Sri Lanka juga meraikan beberapa cuti penganut agama Kristian termasuk Krismas dan Easter. Perayaan ini disambut oleh penduduk Kristian yang merupakan minoriti di negara itu.

Bangladesh (22 hari)

Bangladesh berada di tangga kelima bagi negara dengan jumlah cuti umum paling banyak di dunia iaitu sebanyak 22 hari setahun.

Cuti umum paling penting di Bangladesh adalah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha yang juga merupakan sambutan perayaan terbesar bagi umat Islam di seluruh dunia.

Hari Kebangsaan Bangladesh pula disambut pada 26 Mac setiap tahun.

Bangladesh turut menyambut Hari Gerakan Bahasa pada 21 Februari setiap tahun, Ia merujuk kepada hari memperingati gerakan bahasa Bengali dan mereka yang mati syahid akibat protes pada 1952.