5 anggota polis disyaki curi barang kemas, wang tabung ketika serbu rumah

5 anggota polis disyaki curi barang kemas, wang tabung ketika serbu rumah

 

Seorang wanita mendakwa sekumpulan lima anggota polis mencuri barang kemas dan wang tabung milik anaknya ketika rumahnya yang terletak dalam sebuah daerah di negeri ini diserbu pada Sabtu lalu.

Sumber memaklumkan, wanita tersebut membuat laporan polis petang semalam.

Katanya, wanita tersebut mendakwa lima anggota polis tersebut dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah mencuri seutas rantai dan gelang emas bernilai RM8,000 selain wang kertas dalam tabung milik anaknya yang bernilai RM700.

“Difahamkan serbuan itu dilakukan pada 1.20 pagi Sabtu lalu di kediaman wanita tersebut yang merupakan rumah teres dua tingkat. Serbuan diketuai seorang pegawai itu dilakukan kerana polis mahu memeriksa suami wanita tersebut.

“Dalam serbuan itu, polis menemui syabu dianggarkan seberat hampir empat gram dalam kotak rokok milik suami wanita berkenaan sebelum lelaki itu digari di ruang tamu rumah tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, anggota polis kemudian menggeledah rumah tersebut yang memiliki tiga bilik di tingkat atas.

Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan tidak menemukan sebarang bahan terlarang yang lain dengan suami wanita tersebut dibawa ke IPD bagi membantu siasatan kerana didakwa memiliki dadah.

“Namun, kira-kira pukul 5 pagi hari sama, wanita tersebut yang masuk ke dalam salah sebuah bilik digeledah polis terkejut mendapati barang kemas disimpan dalam kotak hilang manakala tabung milik anaknya dipecah.

“Dia kemudiannya pergi ke IPD untuk mendapatkan penjelasan namun kecewa apabila tiada siapa berada di bilik bahagian narkotik. Seorang pegawai polis yang dihubunginya selepas itu kemudian menasihatinya supaya membuat laporan polis,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan laporan diterima berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan secara menyeluruh dan jika benar kejadian itu berlaku seperti yang didakwa, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai mahu pun anggota yang melakukan perbuatan sedemikian,” katanya.