45 daripada 62 kelab judi dipercayai dianggotai oleh orang Islam – Anwar Ibrahim

45 daripada 62 kelab judi dipercayai dianggotai oleh orang Islam – Anwar Ibrahim

 

KERAJAAN dan Kementerian Kewangan (MoF) digesa mendedahkan penglibatan orang-orang Melayu-Islam dalam aktiviti perjudian.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata berdasarkan laporan yang diterimanya, dianggarkan sekitar 45 daripada 62 kelab judi yang dipercayai dianggotai oleh orang Islam.

Dakwanya, statistik tersebut seolah-olah sengaja disembunyikan oleh kerajaan dengan memberikan lesen perjudian kepada kumpulan tersebut.

“Ini betul-betul melanggar dan dilakukan dengan keadaan terbuka oleh kerajaan Melayu Islam ini, nampak macam unsur melindungi fakta ini.

“Jadi, kita nak tahu berapa jumlah judi mesin slot dan berapa anggota Melayu yang terlibat kerana dalam MySejahtera (memasuki premis judi) jangan nafikan kerana memang ada rekod tentang orang Melayu yang terlibat dalam kes ini. Ini termasuk di Victoria Bukit Kiara yang memang terpapar dalam video,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat penglibatan seorang individu dikenali sebagai Douglas Chan daripada syarikat GPL Group, yang didakwa bergerak secara bebas dan memiliki jumlah syarikat perjudian yang besar di negara ini.

“Kebebasan (GPL Group) boleh mengundang orang-orang Melayu, mungkin kelas atasan untuk bersama dalam kegiatan perjudian ini.

“Saya juga mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyemak kedudukan (GPL Group) agar dapat dipantau dan tindakan diambil,” katanya.

Menurut Anwar, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga perlu menjelaskan mengenai kelulusan syarikat judi kerana sebahagian besar dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018.