“Tsunami pun 2 kali berlaku, inikan ombak cinta dalam perkahwinan” – Farid Kamil
Pelakon Farid Kamil, 43, menyifatkan kemelut rumah tangganya bersama isterinya, Diana Danielle hanya sekadar perselisihan faham kecil.
Farid berkata, apa yang berlaku antara mereka adalah perkara biasa yang dilalui oleh pasangan suami isteri lain.
“Alhamdulillah, saya dapat perkhabaran (keputusan bercerai) dengan baik dan saya masih sayangkan isteri dan anak-anak. Jadi, bagi saya, ini adalah isu biasa dalam rumah tangga.
“Apa yang penting sekarang ini mahu fokus pada penggambaran filem Bisikan Dosa.
“Saya akui fokus saya terganggu, tapi apa yang saya boleh jelaskan, ada berlaku perselisihan faham sedikit dan perkara ini berlaku pada bulan mengambang.
“Tapi, saya ambil perkara ini sebagai perkara positif. Biasalah, tsunami pun dua kali berlaku, inikan ombak cinta dalam perkahwinan,” katanya kepada BH Online.
Farid berkata, dia menerima dengan baik keputusan Diana untuk memfailkan perceraian dan bersedia memberikan komitmen pada prosedur perceraian berkenaan.
“Kali ini saya lebih bersedia. Saya anggap ini takdir Tuhan dan qada serta qadar. Masalah perkahwinan saya sama dengan perkahwinan sesiapa di Malaysia ini, tapi bezanya mereka tak ditemubual begini,” katanya.
Dalam pada itu, Farid mengakui, dia dan Diana masih lagi berhubung dan tinggal sebumbung.
“Kami baru bercakap di telefon dan berhubung semalam. Cuma malam saya tidur di lokasi penggambaran sebab shooting sampai pagi,” katanya.
Bertanya mengenai anak-anak, Farid berkata, anak-anaknya tidak mengetahui mengenai apa yang berlaku antaranya dan Diana.
“Untuk apa mereka tahu? Anak-anak saya tak baca benda gosip semua ini,” katanya.
Nama Farid kembali menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua, Isnin lalu.
Difahamkan, Farid berada di lokasi penggambaran filem ketika Diana meluahkan hasrat menerusi satu hantaran dalam media sosial.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu. Namun, mereka rujuk sebulan kemudian.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.