Rider merungut kena bawa sampel air kencing, ‘curi-curi’ buka sambil tunggu pelanggan

Rider merungut kena bawa sampel air kencing, ‘curi-curi’ buka sambil tunggu pelanggan

 

Tugas sebagai penghantar makanan atau barang (p-hailing) mungkin kelihatan mudah bagi kebanyakan orang.

Namun sebenarnya golongan ini menggalas tanggungjawab besar kerana perlu menghantar barang yang diamanahkan kepada tangan penerima dengan selamat.

Tidak dinafikan ada segelintir pekerja penghantaran bersikap kurang bertanggungjawab sehingga menyebabkan mereka dipandang serong oleh masyarakat.

Dalam hantaran di satu laman grup Facebook, seorang pekerja penghantaran sebuah syarikat kurier meluahkan rasa tidak puas hati gara-gara perlu menghantar barang milik pelanggannya, dipercayai sampel urin.

“Kadang aku pun pelik dengan sesetengah customer. Benda kotor macam ni pun nak suruh hantar ke?

“Nak cek keputusan tapi malas nak bergerak. Orang dah sarat pun tak malas macam kau ye,” tulisnya.

Menerusi hantaran tersebut juga, individu berkenaan meluahkan rungutan kerana mendapat dua tugasan seumpamanya pada hari tersebut.

“Ini job kedua. Yang ni kantoi sebab pakai plastik transparent. Dengan ‘kapit’ banyak job memang tak terfikir nak tengok barang apa.

“Dah hantar, kena sidai… itu yang terfikir nak tengok barang apa,” tulisnya lagi.

Individu tersebut turut memuat naik sekeping gambar barang kiriman pelanggannya itu di dalam perkongsian berkenaan.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas mengenai maklumat pengirim serta penerima barang berkenaan.

Ternyata perkongsian tersebut mengundang kecaman hebat daripada warga maya yang menyifatkan individu berkenaan sebagai tidak jujur serta tidak tahu bersyukur.

“Amanah tu, buat sajalah tuan. Tak perlu expose. Selagi bukan jenayah dan kesalahan di sisi undang-undang.

Job macam ni selalu dekat klinik je. Tanya pada staff ni barang apa, kalau dia cakap urin, kau minta dia balut kemas-kemas. Benda boleh selesai, takkan semua benda nak merungut dekat Facebook.

“Tak ada order kau bising, ada order kau cakap customer malas. Barang dah bungkus rapi dah pun. Tak ada pula customer suruh kau rasa setitik dua dulu baru delivery,” demikan antara komen netizen.