“Mami nak bayar u RM200k” – Jojo Ghazali terkejut tengok transaksi bank selepas beri nombor akaun

“Mami nak bayar u RM200k” – Jojo Ghazali terkejut tengok transaksi bank selepas beri nombor akaun

 

Sebagai individu berpengaruh dan menjadi perhatian ramai di media sosial, jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tak lekang daripada menerima pelbagai mesej daripada individu tidak dikenali.

Terkini Johan atau Jojo, 18, mendedahkan dia ditawarkan wang berjumlah RM200,000 daripada seorang wanita yang menggelar dirinya sebagai ‘mami’.

Tanpa mendedahkan lebih lanjut motif wanita itu menawarkan wang berkenaan, Johan berkongsi tangkap layar mesej yang diterimanya pada 4 Julai lalu di Instagram Story.

“Hi, Johan mami nak bayar you 200k (RM200,000),” tulis wanita terbabit.

Bagaimanapun Johan hanya membalas mesej berkenaan baru-baru ini, dipercayai pada Selasa sambil memberikan nombor akaun CIMB.

Tanpa menyangka dia sebenarnya sudah mendedahkan nombor akaun peribadi kepada lebih 418,000 pengikut di Instagram, Johan akhirnya berdepan satu lagi ‘masalah’.

Sejak daripada itu, akaun bank Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship berkenaan dihujani dengan transaksi daripada orang ramai.

Rata-ratanya cuba bergurau dengan ada dalam kalangan mereka melakukan transaksi serendah satu sen.

Berdasarkan tangkap layar dikongsikan Johan, jumlah paling tinggi yang diterimanya adalah daripada seorang lelaki iatu sebanyak RM345.67.

Enggan membiarkan gurauan itu berterusan, Johan kemudiannya meminta agar orang ramai berhenti memberikan wang kepadanya.

“Aku nak duit sugar mummy je, tak mahu duit anda.

“Terima kasih, anda ni pelik-pelik la. Ya Allah sudahlah, Pergi bagi kat orang lain,” tulis Johan selepas mendapati perkara itu sudah di luar kawalan.

Jojo terkejut menerima transaksi daripada orang ramai dan bergurau hanya mahukan wang daripada sugarmummy.

Sementara itu menerusi perkongsian video di Instagram Story, Johan memaklumkan semua wang yang diterima susulan gurauan berkenaan akan diberikan kepada golongan yang memerlukan.

“Aku nak bagi balik duit yang anda semua bagi ni kepada mereka yang memerlukan… aku tak perlukan duit tu.

“Kalau ada tempat yang memerlukannya di Kuching (Sarawak) ni beritahu,” kata Johan.