Keluar kata kesat kepada media, pegawai Selangor FC ‘diharamkan’ berada di padang & stadium

Keluar kata kesat kepada media, pegawai Selangor FC ‘diharamkan’ berada di padang & stadium

 

Tindakan pegawai media Selangor (SFC) yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada media selepas aksi Liga Super, malam tadi mengundang padah selepas individu terbabit ‘diharamkan’ untuk berada di atas padang mahupun hadir ke stadium.

Ini menyaksikan pegawai terbabit hanya akan melakukan urusan di belakang tabir dan tidak lagi akan terbabit dengan perlawanan membabitkan SFC selepas ini.

Menurut BH Online, perkembangan itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan situasi terbabit dan mengharapkan perkara itu tidak akan berulang bagi memastikan imej pasukan itu tidak tercemar.

“Saya sudah arahkan pegawai terbabit direhatkan. Saya minta maaf kepada media terhadap apa yang berlaku.

“Pengurusan sudah berbincang dan akan pastikan pegawai terbabit tidak berada di padang atau stadium lagi,” katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila sebuah portal sukan melaporkan tindakan tidak profesional seorang pegawai SFC yang memarahi media di khalayak ramai.

Tindakan itu dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila terdapat media yang merakam perjumpaan pengendali pasukan itu, Nidzam Jamil bersama penyokong pasukan itu sebaik tamat perlawanan.

Ketika kejadian, pegawai terbabit lengkap berpakaian rasmi kelab dan pihak media juga lengkap dengan kad akreditasi yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membawa maksud kedua-dua pihak sedang menjalankan tugas.

Tindakan itu berlaku di tempat lawan yang mana pihak tuan rumah sudah memberikan layanan terbaik buat pihak media yang sentiasa berada di lapangan untuk memberikan laporan yang tepat dan sahih.

Menerusi semakan yang dibuat, pegawai itu sebelum ini pernah dikenakan hukuman gantung 10 perlawanan dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah melakukan provokasi melampau ketika perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.