2 rakan didakwa bunuh lelaki di kolam ikan

2 rakan didakwa bunuh lelaki di kolam ikan

 

Dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret Tapah pada Khamis atas tuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah kolam ikan di Bidor, September tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, N. Mageswaran, 31, dan M. Anbu, 30, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama membunuh D. Gunasealan, 30, antara jam 2 pagi hingga 7.30 pagi di kolam ikan Kampung Poh, Bidor pada 13 September 2021.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Mac hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh kedua, Anbu untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana sakit kaki.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala peguam J. Gunamalar mewakili tertuduh kedua, Anbu.

Tertuduh pertama, Mageswaran bagaimanapun tidak diwakili peguam.