Kadar gaji minimum naik kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025

Kadar gaji minimum naik kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025

 

Kerajaan setuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

“Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran ialah RM2,290, Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Ujar beliau yang juga Menteri Kewangan, sebanyak RM250 juta turut disediakan bagi meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan mereka.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan ikhtiar kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan rakyat.

“Melalui ikhtiar IPR kategori Inisiatif Usahawan Makanan (Insan), saudari Normaladiana Mohd Yazal yang merupakan OKU fizikal, telah membantu suaminya berniaga dan berjaya meraih pendapatan untuk keluarga hampir dua kali ganda.

“Kerajaan Madani sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat. Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa,” ujarnya.