Kebangkitan Sze Fei-Nur Izzuddin luar biasa, muncul juara Terbuka Artik

Kebangkitan Sze Fei-Nur Izzuddin luar biasa, muncul juara Terbuka Artik

 

Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila muncul juara Terbuka Artik sebentar tadi.

Tewas di set pertama, Sze Fei-Izzuddin berjaya bangkit dan menang dua set berikutan dengan menundukkan pasangan di ranking kedua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 15-21, 21-15, 21-19.

Menyajikan perlawanan penuh mendebarkan di Energia Areena, Vantaa, Finland, Sze Fei-Izzuddin bangkit di set ketiga biarpun satu ketika ketinggalan 16-19.

Tetap tenang biarpun ketinggalan, mereka yang menghuni ranking kelapan dunia mengejar mata demi mata sehingga berjaya mengikat kedudukan 19 sama dan akhirnya menang 21-19 di set ketiga dalam masa 72 minit.

Gelaran juara Terbuka Artik itu adalah yang ketiga buat Sze Fei-Izzuddin selepas menjuarai kejohanan berstatus Super 1000 di Terbuka China awal bulan lalu selain menjuarai Terbuka Jepun pada Ogos.

Ini adalah kemenangan kedua, Sze Fei-Izzudin ke atas Astrup-Rasmussen dari lapan pertemuan yang mana pertemuan terakhir mereka menyaksikan gandingan negara itu tewas 19-21, 17-21 di peringkat suku akhir di Malaysia Masters pada Mei lalu.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah kemenangan RM142,282.