“Nasib baik menang” – Khairy Jamaluddin bersyukur menang penyampai radio popular ABPBH

“Ini bukan dunia saya. Ini dunia saya yang lain. Tapi dalam setahun saya dah berjaya belajar macam-macam”.
Demikian respons yang diberikan bekas ahli politik dan penyampai radio HOTFM, Khairy Jamaluddin apabila dia berjaya meraih anugerah Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH 36) yang berlangsung pada Jumaat.
Bagaikan sudah dijangka, Khairy atau lebih mesra disapa KJ meluahkan rasa syukur apabila kerjayanya sebagai penyampai radio mendapat pengiktirafan dalam industri hiburan tanah air tempatan.
“Nasib baik menang. Dalam hidup ini, kalau pintu rezeki ditutup, Allah akan buka pintu rezeki baharu. Alhamdulillah, buat yang terbaik, Allah akan bagi yang paling baik. Saya percaya pada perancangan Allah.
“Ini bukan dunia saya. Ini dunia saya yang lain. Tapi dalam setahun saya dah berjaya belajar macam-macam. Kalau ikutkan saya belum layak untuk menerima kejayaan ini,” katanya.
Sementara itu, KJ juga sempat mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerjanya iaitu, Fara Fauzana, Johan dan AG serta peminat yang bertungkus-lumus mengundi sehingga mendorong kemenangannya pada malam tersebut.
Walau bagaimanapun, KJ memaklumkan bahawa perjalanannya sebagai seorang penyampai radio mungkin tidak akan kekal lama dan merancang mahu kembali ke dunia politik satu hari nanti.
“Terima kasih kepada keluarga Hot FM iaitu Fara Fauzana, Johan dan AG. Saya tujukan kemenangan ini kepada mereka yang banyak mengajar saya dalam dunia ini.
“Cuma, saya rasa hanya ‘singgah’ sekejap saja di dunia baharu ini. Mungkin saya akan kembali ke alam semula jadi saya pada waktu yang sesuai tetapi bila waktunya itu, saya tak tahu.
“Saya seronok dengan apa yang saya buat ketika ini.
“Saya juga cuma nak berterima kasih kepada pengundi,” ujarnya.
Sekadar info, KJ yang memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio pada tahun lalu berjaya menewaskan empat pesaing iaitu DJ Sonic, Haiza, Sharifah Shahirah dan Tyzo.