Rider luah ramai pelanggan mahu dilayan seperti ‘VIP’

Rider luah ramai pelanggan mahu dilayan seperti ‘VIP’

 

Rider merupakan salah satu entiti yang cukup rapat dengan masyarakat di Malaysia. Mereka sering memenuhi keperluan orang ramai yang mahu mendapatkan makanan atau menghantar barang ke sesuatu lokasi yang dimahukan.

Dalam menjalankan tugas hakiki, banyak kisah gelap yang terbuku selama ini telah didedahkan oleh sebahagian rider dalam melayan pelbagai kerenah pelanggan yang membuat pesanan.

Seorang rider berkongsi satu tangkap layar di grup FB GrabFood Rider Malaysia yang memaparkan di mana pelanggan merungut makanannya ditinggalkan di luar rumah tanpa mengetuk pintu untuk memberitahu sudah tiba.

“Bro, susah sangat ke nak ketuk pintu untuk bagitau dah sampai? Bro tinggal kat luar macam tu je makanan,” keluhnya.

Selain tidak berpuas hati dengan makanan ditinggalkan di luar rumah, dia sempat memesan dengan nada sinis yang rider perlu dengan ikhlas dan membaca nota peringatan yang diberikan.

Dalam pada itu, ramai rider lain yang berkongsi pelbagai kisah berkaitan pelanggan yang terlalu fussy dan mahu dilayan seperti raja pula.

Ada yang berkongsi jika sebahagian pelanggan tidak mahu pintu diketuk kerana mempunyai anak kecil tapi tidak alert yang makanan atau barang yang dipesan sudah sampai di depan rumah.

Selain itu, rider lain turut berkongsi yang pelanggan meminta makanan dipesan ditinggalkan di tempat tinggi namun tiada tempat yang disediakan. Jadi, mereka terpaksa tinggal di lantai namun kemudian dimarahi pula.

Itu tidak kira lagi pelanggan yang sudah berada di dalam rumah tapi masih lambat mengambil makanan yang dipesan.

Ramai rider juga mengeluh di mana mereka sudahlah perlu menaiki tingkat yang tinggi seperti perumahan apartment atau kondominium selepas itu perlu menunggu lagi pelanggan untuk tempoh yang lama sekaligus membuatkan mereka terlepas pesanan pelanggan yang lain di aplikasi.

Ada yang mendakwa kejadian ini banyak terjadi di kalangan pengguna tempatan dan sebahagian rider menyatakan secara spesifiknya di kediaman Program Perumahan Rakyat.

Susulan itu, mereka berharap agar mentaliti seperti ini dihentikan kerana semua hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan dan bukannya perlu menurut segala kehendak pelanggan yang membuat pesanan.