Tiga penuntut UiTM Dungun pulang makan malam meninggal dunia dirempuh SUV
Tular di media sosial kini apabila tiga penuntut Universiti Teknologi Mara, UiTM Dungun meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah SUV, malam tadi.
Difahamkan kejadian berlaku berhampiran universiti itu kira-kira jam 8 malam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Ku Adib Aizad Ku Azmi masing-masing berusia 20 tahun manakala Mohd. Akmal Tukirin pula berumur 25 tahun.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang cedera parah pula dikenali sebagai Amar Danish Mohd. Ridwan, 20.
Sewaktu kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam.
Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan namun difahamkan pemandu kenderaan terlibat yang merupakan wanita berusia 40-an sudah ditahan.
SUV yang merempuh mangsa dipandu seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an dan didakwa tidak waras.
Mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Daerah Dungun dan mangsa yang parah, dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).