Rusia denda Google $20,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000
Kremlin mengenakan denda simbolik berjumlah $20 decillion ke atas Google kerana menyekat saluran media Rusia di YouTube.
Dalam istilah dolar, ia bermakna gergasi teknologi tersebut diarahkan membayar $20,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000 yang nilainya melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia yang dianggarkan berjumlah AS$110 trilion (RM525.8 trilion).
“Kita sendiri tidak boleh menyebut jumlah angka tersebut, namun pengurusan Google perlu memberi perhatian terhadap tuntutan itu,” lapor Tass memetik kenyataan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Rangkaian media RBC melaporkan Google telah menyekat kandungan 17 saluran media Rusia setelah langkah ketat itu dilancarkan pada 2020.
Sejak melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022, Moscow turut mengenakan denda dalam jumlah yang besar terhadap syarikat media sosial yang menjadi platform kandungan pro-Kiev.
Difahamkan, YouTube masih boleh diakses di Rusia meskipun pihak berkuasa berulang kali mengancam mahu menyekat terhadap laman perkongsian video tersebut.