“Saya sangka kes arwah anak yang terakhir” – Bapa Zulfarhan respon kes penuntut UPNM ‘ditekap seterika’
Negara kembali dikejutkan dengan berita seorang lagi Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) yang cedera ditekap seterika.
Penuntut tahun dua itu dipercayai menjadi mangsa buli penuntut senior.
Memetik laporan akhbar Harian Metro, bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros, 60, terkejut sebaik maklum mengenai kes ini dan tampil meluahkan rasa sedih, terkenangkan apa yang berlaku kepada anaknya. Sebelum ini, Allahyarham Zulfarhan maut setelah dibuli senior di kampus yang sama.
”Saya terkejut dan sedih kerana masih ada kes buli berlaku kepada penuntut UPNM. Saya sangka kes arwah anak yang terakhir tapi ia masih berulang.”
Menurut Zulkarnain, dia dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya melalui aplikasi WhatsApp dan sebaik membaca laporan media, hatinya tersentuh membayangkan trauma yang dilalui oleh mangsa dan keluarga.
“Dakwaan mangsa ditekap seterika, tidak kiralah seterika biasa atau seterika wap, ia sesuatu yang tidak boleh diterima kerana bukan saja menyakitkan dan menyeksakan tapi ia meninggalkan kesan buat mangsa.”
Kejadian itu sekaligus mengimbau kembali kejadian yang sama dilalui olehnya sebaik mengetahui berita yang menimpa Allahyarham Zulfarhan. Ia sesuatu yang sukar untuk diterima apatah lagi memikirkan penyiksaan yang dialami Allahyarham setelah hampir 90 peratus kesan tekapan seterika panas yang meragut nyawanya.
“Seperti berlaku kepada arwah anak yang mempunyai 90 kesan tekapan seterika wap panas, sehingga sekarang saya tak mampu untuk lupakan kesengsaraan dialami arwah,”
Dia turut berpandangan laporan siasatan kes terbaharu ini seharusnya didedahkan agar ia sentiasa menjadi kesedaran umum. Menurutnya, kecederaan bukan hanya tampak di luaran, malah perlu difikirkan impak emosi mangsa dan keluarga di masa hadapan.
“Sehingga kini tiada undang-undang khusus terpakai bagi kes buli di sekolah dan institut pengajian tinggi. Peningkatan kes buli kebelakangan ini adalah petanda kecemasan yang memerlukan tindakan segera pihak berwajib,” katanya.
Khamis lalu tular berita seorang pegawai kadet tahun dua di ALK-UPNM Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera.
Memetik sumber, mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas, yang menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengambil maklum laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden itu yang memperlihatkan kesan lecur pada badan mangsa.
ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes itu.